Saturday, April 25, 2009

Teknik Mengawal Joran

Tabiat sesetengah ikan terutama ikan yang bermain didasar laut atau sungai, untuk melepaskan diri ialah dengan cara melarikan diri di celah-celah batu karang atau pokok-pokok tumbang atau dicelah akar kayu. Apa yang perlu anda lakukan, cuba halang perkara ini daripada berlaku dan ia memerlukan kemahiran tertentu. Jika ikan sempat mencari perlindungan, anda akan tertewas tapi jika anda ketatkan butang tarikan pada kekili, tali akan putus. Teknik yang sebaiknya ialah:-

1. Dengan cara menjatuhkan hujung batang joran selari dengan tarikan ikan tersebut. Biarkan ikan menarik tali itu dalam keadaan lurus.
2. Selepas itu anda tarik semula tali pancing dengan mengangkat batang joran dalam keadaan selari dengan tarikan ikan itu.
3. Perlu diingatkan, ketika anda menjatuhkan hujung joran ketika ia menerima tarikan, acap kali ikan berkenaan akan berhenti buat seketika. Jika keadaan seperti ini berlaku, masa itulah anda kawal ikan tersebut dengan melawan tarikannya pula.
4. Dengan berbuat begini kemungkinan besar anda pasti berjaya menewaskannya.


Bagaimana menjaga peralatan memancing ?

A. Sukan memancing hari ini diceburi oleh semua golongan masyarakat. Yang berpendapatan tinggi ,sederhana dan rendah semuanya ada. Cuma mungkin perbezaan ketara ialah padang pancing dan peralatan yang digunakan . Peralatan yang mahal tidak semestinya tahan lama kalau tidak ada perjagaan rapi dan yang murah belum tentu cepat rosak kalau pandai menjaganya. Samada memancing di laut atau darat, implikasi masalah tetap sama. Namun memancing air masin lebih tinggi risiko kerosakan dari memancing air tawar. Kadar oksidasi air masin mempercepatkan tindakbalas yang menghasilkan karat. Disini diberi beberapa langkah yang berkesan untuk menjaga peralatan pancing supaya dapat bertahan lama.

1. Sewaktu pulang dari aktiviti memancing, luangkan sedikit masa dengan mencuci ataupun melakukan service ringkas untuk semua peralatan yang digunakan semasa memancing. Kekili dan Joran perlu dibilas dengan air paip selepas memancing. Pastikan ‘drag’ dan geledung kekili diketatkan sebelum dibilas. Ia bertujuan mengelakkan air dari memasuki bahagian dalaman kekili. Jangan sama sekali merendam kekili dalam air semasa mencucinya. Selepas mencuci biarkan seketika hingga kering dan lapkan sekiranya terdapat lebihan air terkumpul. Gunakan WD-40 atau minyak mesin jahit untuk menyembur bahagian yang bergerak terutama pemegang, dalaman geledung dan sebagainya yang dirasakan perlu. Longgarkan ‘drag’ kekili pada tahap minimum serta pisahkan kekili dari joran sebelum menyimpannya ditempat tidak tercapai oleh anak-anak. Pemancing tidak digalakkan menyimpan joran dan kekili didalam bonet kereta terlalu lama kerana bonet yang berhabuk dan berpasir boleh memendekkan hayat kekili dan joran.
2. Untuk mata kail jangan campurkan yang telah digunakan bersama-sama yang baru. Karat akan mudah merebak pada mata kail lain terutama mata kail jenis tidak tahan karat. Asingkan dalam tempat khas sekiranya ingin digunakan lagi. Jika mata kail kurang tajam gunakan kikir halus atau kertas pasir bagi mengasahnya menjadi tajam semula. Disyorkan gunakan mata kail yang tahan karat kerana ia tahan dan boleh digunakan berulang kali.
3. Playa adalah salah satu peralatan penting dalam memancing. Jika pulang dari memancing cuci dengan air , lap dan di sembur dengan WD-40 terutama pada bahagian tengah bagi tidak ketat dan lancar pergerakkannya.
4. Tali pancing pada geledung perlu diperiksa sebelum turun memancing. Geledung perlu di jirus supaya air masin tidak terkumpul. Jangan sama sekali menarik tali yang tersangkut menggunakan joran. Joran akan mudah patah. Cara seeloknya luruskan joran dan ketatkan ‘drag’ sedikit dan kemudian tarik tali dengan menggunakan kain. Bagi pemancing tebing atau pantai, elakkan pasir atau lumpur dari memasuki kekili. Ini boleh menyebabkan kekili mudah rosak kerana bahan-bahan ini akan bertindak seperti kertas pasir yang boleh menghakis ‘gear’ dan alas bebola kekili.
5. Kekili lama yang rosak jangan dibuang kerana ia mungkin ada kegunaan seperti untuk dijadikan ‘spare parts’ kerana tidak banyak kedai pancing yang menjual barang gantian untuk kekili.

Panduan diatas dicatitkan mengikut pengalaman saya. Ramai pemancing lain mempunyai panduan menjaga peralatan pancing masing-masing supaya tahan lama. Ia nya bergantung kepada pemancing itu sendiri yang menentukan amalan perjagaan peralatan . Dibawah ini pula saya akan ‘kupas’ secara terperinci tentang peralatan yang digunakan semasa aktiviti memancing:

B. Tali – Perkara Utama yang harus dilakukan ialah memeriksa ‘tali ibu’ di kekili dengan mempastikan tali tersebut tidak luka atau keras. Pemancing diingatkan agar tali ibu itu bersesuaian dengan kekili kerana ada setengah pemancing menggunakan kekili yang kecil tetapi dipadankan dengan tali yang besar. Anggapan agar mudah menarik ikan yang besar. Sebenarnya itu satu kesilapan kerana masalah yang kerap timbul ialah;

1. Sukar membuat lontaran jauh dan tepat.
2. Tali mudah keluar dan ‘berserabut’, secara tidak langsung memaksa pemancing memotong tali bermasalah ini dan ia akan menjadi sedikit didalam kekili.
3. Tali yang keras pula akan sentiasa ‘bergulung’ dan sukar menegangkannya dan ini memaksa pemancing menggunakan batu ladung yang besar namun tanpa disedari tali tersebut sebenarnya telah reput dan mudah putus.

Nasihat kepada pemancing, apakiranya mengeluarkan sedikit modal membeli tali yang sepadan dan mempunyai kekuatan seimbang dengan kekili yang digunakan agar tidak berputih mata. Persoalan disini bilakah anda perlu menukar tali pancing? Catitkan

1. Kekerapan anda menggunakan tali itu.
2. Cara-cara anda menggunakan tali tersebut.
3. Pendedahan tali itu kepada cahaya matahari.
4. Menyimpan tali ditempat yang tidak sesuai.

Perkara yang kerap merosakkan tali pancing (kesimpulan dari masalah diatas)

1. Kekerapan tali pancing menerima tarikan yang kuat bukan saja datang dari ikan tetapi juga dari diri anda sendiri ketika tali itu tersangkut pada batu karang atau dahan-dahan kayu didalam air tempat anda memancing. Kerosakkan teruk adalah pada hujung tali ini secara tidak langsung melemahkan tali dan bahagian ini harus dipotong.
2. Tali yang pecah dan bertukar warna. Cara memeriksanya mudah dengan hanya menggunakan jari. Tali yang rosak ini boleh mengurangkan sehingga 50 % kekuatan tali asal. Oleh itu ia harus ditukar segera.
3. Pendedahan yang terlalu lama kepada cahaya matahari terutama belakang kereta boleh mengakibatkan kerosakkan kepada molekul tali tersebut. Anda boleh mengesan kerosakkan pada tali dengan melihat perubahan pada warna dan kekerasan tali. Tempat menyimpan dibawah tekanan lembab spt. terdedah kepada embun, tempias hujan serta berhampiran peti sejuk, tv. atau alat penghawa dingin turut merosakkan tali.
4. Bahagian batang pancing yang rosak terutama di ‘cincin’ joran seperti berkarat dan berkerutu adalah salah satu punca utama tali mudah rosak, luka dan mudah putus. Oleh itu seringlah mempastikan perkara-perkara diatas dapat diatasi jika tidak tali terpaksa ditukar baru.

No comments:

Post a Comment